Assalamualaikum W.B.T
Tahukah anda, betapa banyak kebaikan oat untuk kesihatan seseorang? Ia kaya dengan serat yang membantu mengurangkan kadar kolestrol dalam darah. Serat inilah yang membersihkan usus perut supaya kita terhindar daripada mendapat kanser kolon. Kali ini Eykine ingin bercerita tentang serat ini, bacalah sehingga penghujungnya ya!!
SERAT, BAIK UNTUK TUBUH
Sekitar tahun 1880 an, Sylvester W. Graham pernah menyarankan pengambilan oat untuk kesihatan usus. Entah mengapa, kesedaran tentang serat tidak cukup kuat pada waktu itu. Hampir seabad itu, barulah pakar sains mula mengkaji tentang tugas serat dalam peranannya membantu kesihatan seseorang. Setelah banyak kajian dijalankan, lebih ramai orang mengetahui tentang kepentingan serat.
Mengambil makanan tinggi serat membantu untuk ke tandas kerana ia menggalakkan proses penghadaman, mengurangkan masa transit makanan melalui saluran gastrousus serta mengawal tahap kolestrol dan kandungan gula dalam darah. Serat ada 2 jenis iaitu jenis larut dan jenis tidak larut.
Dua jenis serat ini adalah contoh terbaik jenis mudah larut, contohnya bran oat dan oatmeal. Serat ini juga boleh didapati dalam buah-buahan dan kekacang. Lebih baik lagi, dalam kekacang juga terdapat vitamin B dan asid folik. Asid folik membantu menambah sel darah merah dan menyumbang karbohidrat kompleks yang penting untuk proses penghadaman.
Tugas serat ini mengawal tahap kandungan gula dalam darah menyebabkan pengambilan serat mudah larut penting untuk pemakanan terutamanya untuk pesakit kencing manis. Apabila serat mudah larut dimakan, ia membentuk sejenis jel dalam perut yang melambatkan kadar perjalanan zat makanan meninggalkan perut untuk masuk ke dalam usus kecil. Apabila proses ini berlaku, penyerapan glukosa oleh tubuh juga dapat dikurangkan.
Jika anda mahu mengurangkan berat badan, elok juga amalkan oat. Melambatkan penyerapan zat makanan bermakna menangguhkan rasa lapar/ Rasa inilah yang membolehkan anda berasa kenyang lebih lama. Menurut sebuah penyelidikan kesihatan, serat oat boleh merendahkan kolestrol darah apabila ia dimakan sebagai sebahagian pemakanan rendah lemak.
SERAT TAK LARUT?
Serat tidak larut terkandung dalam makanan yang berasaskan oat atau beras perang. Beberapa jenis sayur dan buah juga mengandungi serat tidak larut. Serat ini dikatakan memberi kesan terhadap kesihatan usus besar. Ia tidak diserap dan bergerak cepat dalam usus ketika proses penghadaman.
Serat tidak larut memudahkan proses penghadaman dan mempercepatkan seseorang itu ke tandas jika mengamalkannya. Dengan mengamalkan oat tidak larut, akan membantu mengurangkan tekanan pada dinding kolon dan membantu mencegah sembelit. Serat tidak larut bertindak untuk mencairkan karsinogen, sejenis bahan yang terdapat dalam najis. Selain itu juga, ia melindungi dinding usus dari serangan bahan toksik yang tidak sihat.